Suara Jep Sepahtu

Sunday, May 18, 2014

Jep Sepahtu : Macam Ada Komplot

assalamualaikum Jeppers semua ... mungkin anda perasan entry yang sebelum nie cik arni ada berkongsi kepada anda mengenai al kisah perang dingin antara abg Jep dan Shahrol Shiro , untuk entry yang ini pulak cik arni akan berkongsi kepada anda semua mengenai luahan abg Jep Sepahtu yang memberi maklum balas mengenai semua gosip dan kontroversi yang telah mengaibkan dan memburukkan nama abg Jep ...

Jep Sepahtu: Macam ada komplot

Sebaik nama pelawak Jep Sepahtu, 28, berada di puncak selepas menang ba-nyak anugerah, dia mula dihujani pelbagai kontroversi.
Bermula dengan perselisihan faham dan perang dinginnya dengan anggota kumpulan lawak Shiro, Shahrul, kemudian dikatakan bertunang secara senyap-senyap. Terbaru, pelawak asal dari Kampung Melayu, Jalan Sultanah, Kulai, Johor itu dikatakan memaki peminat.
Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin mengaku tertekan dengan segala cerita ditimbulkan. Katanya, cerita berterusan seperti itu ibarat jadual yang ditetapkan dan seolah-olah ada komplot untuk memburuk-burukkan namanya. 

“Bayangkan apabila sesuatu isu mengenai saya mula reda, selang dua minggu kemudian timbul pula cerita lain. Dalam hati saya turut bertanya apa motifnya perkara ini ditimbulkan.
“Saya boleh faham jika ia sekadar gosip. Cuma yang membimbangkan saya apabila cerita disebarkan itu menjadi fitnah apabila dakwaan dibuat tidak disertakan dengan asas atau bukti kuku. Bagi saya, ia tidak adil.

“Saya faham situasi sekarang di mana kecanggihan teknologi membolehkan sesiapa saja menulis mengenai apa saja, tetapi mana mungkin ia disiarkan hanya berdasarkan e-mel diterima tanpa bertanya akan kesahihannya.

“Apabila situasi seperti ini berlaku, kita tidak tahu siapa yang mempertahankan dan tidak suka dengan kita. Cerita dihebahkan pula hanya bergantung kepada e-mel yang berkemungkinan besar dihantar kepada pihak media dengan tujuan tidak baik. 

“Pada saya, perkara seperti ini tidak adil untuk artis seperti saya. Kalau dengan berbekalkan e-mel tanpa bukti kukuh dan disoal selidik boleh disiarkan, bagaimana artis seperti saya mahu cari makan,” katanya.

Kata Jep, dia kecewa dan tertekan apabila cerita buruk mengenainya berterusan, sedangkan dia jarang bercampur dengan orang dan sebaik mungkin menjaga silaturahim antara rakan dan peminat.

“Itu yang membuatkan saya rasa pelik. Ia (gosip dan kontroversi) timbul seperti satu rancangan atau konspirasi hendak menjatuhkan nama saya.

“Bayangkan, saya boleh mengagak hari ini tiada apa-apa cerita buruk mengenai saya tetapi selepas dua minggu, ada perkara baru. 

“Perkara itu seperti dijangka dan benar ia keluar. Fitrah manusia kita memang tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi apa yang berlaku kepada saya adalah melampau,” katanya.

Bagi Jep, apa yang berlaku kepadanya membuatkan dia risau apabila ada pihak bertanya, apatah lagi ada penjelasan diberi tidak sama dengan kenyataan balas diberi. Disebabkan perkara itu, dia lebih selesa berdiam diri.

“Saya akui sebagai artis, cerita gosip seperti itu adalah asam garam. Saya kena faham dunia selebriti memang lumrahnya begitu, tetapi biarlah ia berpada-pada. Ini sampaikan mereka bercerita seperti lebih tahu daripada tuan empunya diri.

“Contoh paling baik, cerita saya bertunang. Perkara itu tidak benar dan tidak berlaku. Kadangkala tertanya dalam hati, apa yang mereka mahukan sebenarnya.

“Niat saya berlawak untuk menghiburkan orang. Hendak buat orang ketawa bukan senang dan saya kena fokus. Bagaimanapun, apabila cerita tidak benar mengenai saya ditimbulkan, tentu ia mengganggu tumpuan. 

“Kalau keadaan ini berterusan, saya berasakan biar tiada berita dan saya berada di bawah kembali jika ia membuat orang lain bahagia.

“Kalau berada di bawah, tiada orang hendak bercerita negatif mengenai saya. Saya berada dalam industri sekadar mahu mencari rezeki dan fokus saya pada kerja,” katanya. 

Kata Jep, dia sebaik mungkin tidak mahu bersangka buruk tetapi jika benar ada yang mahu menjatuhkannya, pesannya tidak perlu mereka melakukan kerja Tuhan dan urusan sudah ditetapkan.

“Jangan campur apa yang ditetapkan Allah. Hidup seperti pusingan roda, jika sampai masanya saya jatuh, masanya akan sampai juga.

“Tidak perlu mereka bersusah payah membuat perancangan seperti itu,” katanya yang mula dikenali bersama kumpulan Sepah.

Dalam berdepan situasi kurang menyenangkan itu, tegas Jep, ada ketikanya ia membuatkan semangatnya seakan-akan hilang untuk terus berkarya. Namun Jep berfikiran positif dan menyifatkan apa yang berlaku adalah ujian Allah.

Katanya, andai 10 orang terkesan dengan cerita disebarkan sehingga ada yang membenci, dia yakin akan bertambah 100 lagi orang yang suka dengan apa dilakukannya.

“Kekuatan saya untuk terus berjuang dalam bidang seni ini datang dari peminat yang mempercayai diri saya. Malah, rakan artis lebih senior seperti Datuk AC Mizal, Adlin Aman Ramlie dan Ebby Yus selalu menasihati saya.

“Ikatan kekeluargaan antara kami menjadi pengikat dan penguat semangat saya. Bayangkan kadangkala mereka lebih emosi apabila cerita buruk mengenai saya disiarkan berbanding saya sendiri.

“Sampai ada ketika saya yang perlu menenangkan mereka. Saya bersyukur kerana mereka sangat sayangkan saya,” katanya.

Selain mereka, Jep mendapat kekuatan daripada bapanya yang selalu menasihati dan mengatakan orang yang hebat macam mana pun pasti akan dikritik waima seorang perdana menteri.

“Pada saya, kalau kritikan membabitkan kerja tidak mengapa, ini tidak. Apa yang disiarkan itu merapu dan mengarut. Kalau hendak menegur, biar kena caranya. Ini tidak, ia seakan-akan mengaibkan saya dan keluarga. 

“Bayangkan apabila saya dituduh memaki hamun peminat. Cerita itu bukan saja memburukkan saya, tetapi juga ibu bapa saya. Tentu orang akan bercakap ‘mak bapa saya tidak pernah mengajar saya beradab sehingga saya sanggup memaki orang lain bodoh’.

“Orang yang pernah bekerja dengan saya tentu faham bagaimana saya menghormati orang. Ayah saya didik saya, sebelum kita mahu orang hormat pada kita, biar kita hormat orang atau kerjanya terlebih dulu. 

“Saya tidak minta orang hormat saya, tapi biar saya hormat orang. Apatah lagi peminat yang selama ini banyak menyokong saya. Mereka tiang kekuatan saya untuk terus berkarya selama ini. 

“Saya belum ‘gila’ lagi hendak memaki peminat yang memberi sokongan dengan perkataan bodoh. Mereka yang menulis perkara sedemikian boleh tanya orang Astro yang ada di tempat kejadian. 

“Siapa paling lambat keluar padang selepas perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan tempoh hari jika tidak saya. Kenapa saya lambat? Sudah tentu saya bersama peminat saya. 

“Atas segala kebaikan diberi peminat kepada saya, apalah sangat saya menghormati mereka dengan bergambar dan bersalaman.

“Saya sangat menghargai orang, apatah lagi jika mereka berjasa kepada kita seperti peminat dan penyokong saya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04 memang tidak dinafikan semenjak kumpulan Sepahtu menjadi juara Maharaja Lawak Mega 2013 , abg Jep Sepahtu semakin popular dan semakin mendapat perhatian daripada pihak media .. seiring dengan itu , nama abg Jep mula semakin banyak terlibat dengan gosip dan kontroversi ... dan perkara tersebut sedikit sebanyak memburukkan nama abg Jep yang umumnya mengetahui nama abg Jep sebelum ini sentiasa ' bersih ' daripada gosip gosip yang tidak berasas .... salam sayang Jeppers,Cik Arni Amiera .

1 comment:

  1. Merit Casino No Deposit Bonus 2021 | Free Bonus Codes
    Merit Casino no deposit bonus. 2021. Last updated: Oct 10, 2021. Merit Casino No Deposit 메리트카지노 Bonus Codes septcasino – October 2021. 제왕 카지노

    ReplyDelete